Malaysia mempunyai bentuk muka bumi yang indah. Iklim dan cuaca negara kita pula panas dan lembap sepanjang tahun. Oleh itu, banyak flora dan fauna terdapat di negara kita.
A. Bentuk Muka Bumi
Kita berbangga kerana Malaysia mempunyai bentuk muka bumi yang terdiri daripada tanah tinggi, tanah pamah, saliran, pinggir laut dan pulau. Setiap bentuk muka bumi tersebut penting kepada kita.
- Tanah Tinggi dan Kepentingannya
i. Menjana Kuasa Hidroelektrik
Stesen jana kuasa hidroelektrik dibina di kawasan tanah tinggi yang ada sumber air. Contohnya, Empangan Batang Ai yang terletak di Banjaran Kapuas Hulu, Sarawak, membekalkan kuasa elektrik ke kawasan kediaman dan perindustrian di Kuching dan Bintulu.
ii. Pelancongan
Pernahkah kamu melawat Tanah Tinggi Cameron di Pahang? Suhu yang nyaman dan pemandangan bukit-bukau yang menghijau menarik pelancong. Aktiviti pelancongan ini mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri perhotelan.
iii. Pertanian
Kamu boleh melihat banyak sayu-sayuran ditanam jika melawat Tanah Tinggi Kundasang. Di sini juga terdapat tanaman bunga-bungaan. Tanaman ini sesuai ditanam kerana kawasan ini bersuhu rendah.
- Tanah Pamah dan Kepentingannya
Tanah pamah merupakan kawasan tanah rendah yang datar dan beralun. Di tanah pamah biasanya terdapat sungai, tasik atau paya.
i. Kawasan Pertanian
Kawasan tanah pamah sesuai untuk tanaman padi, kelapa sawit, getah, nanas dan tebu. Contohnya, padi banyak ditanam di Dataran Kedah-Perlis dan Tanjong Karang, Selangor. Kelapa sawit dan getah banyak ditanam di Sabah, Pahang dan Johor. Nanas banyak ditanam di Johor. Tebu pula banyak ditanam di Perlis. Hasil daripada tanaman getah dan kelapa sawit menjadikan negara kita sebagai pengeksport getah dan kelapa sawit.
ii. Kawasan Perindustrian
Kawasan perindustrian seperti Shah Alam, Pasir Gudang, Gurun dan Bintulu terletak di kawasan tanah rendah. Bangunan kilang yang besar hanya dapat dibina di kawasan yang rata. Pembinaan kilang di kawasan rata tidak memerlukan kos yang tinggi.
iii. Jaringan Pengangkutan
Jika kamu melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, kamu mendapati sebahagian besar laluannya dibina di kawasan tanah pamah. Pembinaannya mudah dan kos membinanya rendah. Selain itu, di tanah pamah dibina landasan kereta api, lapangan terbang dan landasan komuter. Kemudahan jaringan pengangkutan telah memudahkan urusan seharian penduduk dan kegiatan ekonomi.
- Saliran dan Kepentingannya
Sungai mengalir dari kawasan tanah tinggi ke kawasan tanah rendah dan terus ke laut. Lihat peta di bawah untuk nama-nama sungai.
i. Sumber Pengairan dan Perikanan
Petani dapat menanam padi apabila mendapat bekalan air yang diempang dari sungai. Contohnya, Sungai Muda di Kedah diempang untuk mengairi kawasan tanaman padi di Dataran Kedah-Perlis. Ada sungai dan tasik yang dijadikan kawasan ternakan ikan. Contohnya, penternakan ikan dalam sangkar di Sungai Pahang. Tasik juga dijadikan kawasan ternakan seperti di Tasik Timah Tasoh, Perlis.
ii. Sumber air
Air sungai diempang dan disalurkan ke loji rawatan untuk dibersihkan. Contohnya, air Sungai Kelang diempang dan dibersihkan di Empangan Klang Gate. Selepas itu, air dibekalkan untuk pelbagai kegunaan penduduk di Lembah Kelang.
iii. Jalan Perhubungan
Sungai Rajang di Sarawak menjadi jalan perhubungan dan pengangkutan. Sungai Kinabatangan di Sabah digunakan untuk menghanyutkan kayu balak ke kilang untuk diproses. Sungai Tembeling di Pahang pula menjadi laluan masuk pelancong ke Taman Negara di Pahang.
- Kepentingan Pinggir Laut dan Kepulauan
Kawasan pinggir laut negara kita terdiri daripada pantai, teluk dan tanjung dan pulau. Pernahkah kamu melancong di mana-mana pinggir laut negara kita?
i. Pelancongan
Pantai berpasir dan pulau yang airnya jernih serta mempunyai pemandangan yang indah sering menjadi tumpuan pelancong.
ii. Pelabuhan
Di pinggir laut terdapat pelabuhan. Contohnya, Pelabuhan Klang di Selangor dan Tanjung Pelepas di Johor. Jika kamu melawat pelabuhan, kamu akan mendapati pelbagai aktiviti mengeksport dan mengimport barang.
iii. Perikanan
Negara kita mempunyai pinggir laut yang panjang. Nelayan menangkap ikan di sepanjang pinggir laut di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Kegiatan menangkap ikan memberikan sumber pendapatan kepada nelayan dan peraih ikan.
Pantai berpasir dan pulau yang airnya jernih serta mempunyai pemandangan yang indah sering menjadi tumpuan pelancong.
ii. Pelabuhan
Di pinggir laut terdapat pelabuhan. Contohnya, Pelabuhan Klang di Selangor dan Tanjung Pelepas di Johor. Jika kamu melawat pelabuhan, kamu akan mendapati pelbagai aktiviti mengeksport dan mengimport barang.
iii. Perikanan
Negara kita mempunyai pinggir laut yang panjang. Nelayan menangkap ikan di sepanjang pinggir laut di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Kegiatan menangkap ikan memberikan sumber pendapatan kepada nelayan dan peraih ikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan